Selangor kini selesa beraksi di Stadium Selayang sebagai gelanggang tuan rumah dalam saingan Liga Super sepanjang musim ini namun tidak menolak kembali ke Stadium Shah Alam jika Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) setuju dengan syarat ditetapkan.

Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Seri Subahan Kamal berkata, ketika ini FAS masih dalam tahap perbincangan dengan MBSA dan belum ada sebarang keputusan diambil.

“FAS ada menerima surat MBSA berhubung penggunaan Stadium Shah Alam dan kini belum ada sebarang keputusan diambil.

“Bagi saya, masih terlalu awal untuk mengatakannya mengenai perkara itu dan saya rasa benda ini perlu dirujuk kepada pihak bertanggungjawab. Saya serahkan kepada Setiausaha Agung FAS Rosman (Ibrahim) untuk berbincang dan tengok apa yang terbaik untuk Selangor,” katanya.

Beliau yang ditemui di majlis pengenalan jersi baru Selangor dari Lotto di Al-Ikhsan semalam berkata, beliau tidak menafikan mereka kini selesa beraksi di Stadium Selayang dengan pemain menunjukkan semangat juang tinggi.

Sementara itu, mengulas gol kontroversi penyamaan pemain Selangor yang didakwa tidak sah, Subahan menyerahkan perkara itu kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Tegasnya, beliau dimaklumkan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sudah menghantar bantahan kepada FAM, justeru biar pihak pengurusan pengadilan FAM mengkaji dan membuat keputusan sama ada perkara itu benar atau sebaliknya.

Sumber: Harian Metro (Aida Adilah Mat)

Artikel ini disiar semula dari media yang dinyatakan dan tidak semestinya mewakili pandangan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS)