“Selangor mungkin tinggal sejarah jika masalah ini tidak selesai,” kata bekas pemain Red Giants Nazzab Hidzan mengenai nasib pasukan itu susulan kemelut dalaman yang melanda Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Tanpa dana diperuntukkan kerajaan negeri apabila Presiden FAS yang juga Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali kerana didakwa tidak sebulu dengan ahli Exco, nasib pasukan juara 33 kali Piala Malaysia itu kini terumbang-ambing.

Nazzab, 41, yang pernah bersama Selangor pada 1996-2000 dan 2005-2006 berharap Azmin perlu segera tampil ke depan untuk menyelesaikan apa jua kemelut bersama barisan Exco.

“Jika tiada dana untuk pasukan Selangor, kerajaan negeri perlu memaklumkan lebih awal, tapi dengan hanya sebulan sebelum saingan Liga Malaysia (Liga-M) bermula, memang sukar.

“Mungkin boleh cuba untuk dapatkan dana lain, tapi agak sukar. Jika masalah dihadapi sekarang tidak diatasi segera, Selangor mungkin boleh jatuh semula ke divisyen dua (Liga Perdana) dan ini pernah berlaku dan kami tak mahu perkara sama berulang.

“Saya berharap agar semua pihak ketepikan agenda masing-masing dan gunakan budi bicara untuk berbincang menyelesaikan masalah. Hanya presiden yang boleh buat keputusan. Kami tak mahu Selangor dianaktirikan presiden sendiri,” katanya dalam sidang media khas bersama bekas pemain dan ahli gabungan FAS semalam.

Sebelum ini ada cadangan untuk Selangor bergabung dengan PKNS FC bagi saingan Liga Super musim depan sebagai langkah menyelamatkan pasukan itu.

Bagaimanapun, PKNS mengatur langkah sendiri dengan bernaung di bawah Persatuan Bolasepak Melayu Selangor (PBSMS) untuk membuat pendaftaran Liga-M selepas tidak mendapat sokongan FAS.

Kini nasib Selangor bergantung kepada FAS sendiri dan tanpa sumber kewangan sudah pasti pasukan itu bakal berkubur.

“Saya berharap masalah ini dapat diselesaikan dengan cara MB (Azmin) tampil beri penjelasan kerana FAS sudah menghantar surat rasmi untuk berjumpa, tapi ditolak. Tolong selamatkan bola sepak Selangor,” kata Roslin Shariff, wakil ahli gabungan FAS.

Sumber: Harian Metro

Artikel ini disiar semula dari media yang dinyatakan dan tidak semestinya mewakili pandangan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS)