Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (Johor DT) menyambar seorang lagi tonggak utama Selangor bagi memperkuatkan jentera serangan mereka untuk menghadapi saingan liga tempatan yang dijangka bermula 20 Januari depan.

Selepas mendapatkan khidmat Nazmi Faiz Mansor dari Red Giants sebelum ini, Johor DT mengorak langkah pantas apabila mengikat penyerang Merah Kuning yang juga ayam tambatan Harimau Malaysia, Ahmad Hazwan Bakri.

Menerusi foto yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi kelab itu, Johor Southern Tigers (JST), Hazwan dilihat bersama pemilik kelab Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Padang Seri Gelam, Johor Bahru, semalam.

Pengarah Agensi dan Bakat MVP Sports Agensi, Hafizan Halim mengesahkan pemain kelahiran Labuan itu sudah sah menjadi milik pasukan Johor DT dengan kontrak selama dua musim.

“Memang benar Hazwan membuat keputusan menyertai Johor DT selama dua tahun. Kontraknya bersama kelab itu bermula tahun depan sehingga hujung 2019.

“Malah Johor DT juga menebus kontrak Hazwan yang masih berbaki selama setahun (bersama Selangor) dengan kedua-dua belah pihak turut mencapai persetujuan hasil rundingan bersama,” katanya semalam.

Perpindahan Hazwan dan Nazmi Faiz sememangnya sudah diduga sejak pertengahan musim lalu apabila difahamkan juara Piala AFC 2015 itu bakal melakukan rombakan untuk menghadapi saingan musim 2017.

Selain kejayaan mengikat dua pemain Selangor itu, kelab yang berpangkalan di selatan tanah air itu juga turut berjaya membawa masuk pemain muda T-Team Safawi Rasid, tonggak sayap Sarawak Syahrul Azwari Ibrahim dan Haziq Nadzli dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sumber: Harian Metro

Artikel ini disiar semula dari media yang dinyatakan dan tidak semestinya mewakili pandangan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS)