Kelibat penyerang muda, Adam Nor Azlin sekali lagi bakal ditagih Selangor bagi menghadapi cabaran Kedah pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Penyerang berusia 20 tahun itu membuktikan kemampuannya selaku ‘super sub’ terbaik apabila sering menyelamatkan maruah The Red Giants dengan jaringan gol dan membantu rakan sepasukannya mendapatkan jaringan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

Justeru, kehadiran anak kelahiran Klang ini pastinya dapat membantu pasukan juara bertahan itu untuk mencetus ‘magis’ andai Selangor berada dalam keadaan terdesak dan juga tertekan untuk mencari gol pada aksi hidupmati itu.

“Kalau diturunkan, ianya adalah satu rezeki buat saya kerana saya tahu tidak mudah untuk mendapat peluang beraksi di perlawanan akhir yang begitu berprestij seperti final Piala Malaysia.

“Walau di mana pun posisi saya akan diturunkan pada aksi final itu nanti, saya sudah bersedia sepenuhnya untuk memberikan segala yang terbaik bagi membantu Selangor mengekalkan kejuaraan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di padang Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, semalam.

Dalam masa sama, pengalaman beraksi di final Piala Newspaper 2012 dan Piala Banghabandu 2015 sedikit sebanyak membantunya mengawal tekanan menjelang final Piala Malaysia.

“Walaupun pernah beraksi di pentas akhir perlawanan peringkat antarabangsa, namun tetap ada rasa gemuruh memandangkan ini final pertama saya bersama Selangor.

Satu pengalaman yang baharu untuk saya jadi saya teruja untuk menantikan perlawanan akhir ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Artikel ini disiar semula dari media yang dinyatakan dan tidak semestinya mewakili pandangan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS)