Jurulatih Selangor, P Maniam mengakui aksi longlai anak buahnya pada 10 minit pertama hampir memakan diri sebelum menang tipis 2-1 ke atas Sarawak di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, kelmarin.

Maniam bagaimanapun tetap memuji tindakan barisan pemainnya yang bangkit selepas ‘tidur’ dan berjaya menjaringkan gol pembukaan menerusi Victor Stelian Astafei pada minit ke-21.

“Sepuluh minit pertama kami ambil mudah, tapi nasib baik mereka (Sarawak) tidak jaringkan gol. Selepas itu kami bangkit dan mencipta peluang dan menjaringkan gol.

“Permainan kami lebih baik selepas itu, dan saya fikir semua pemain bekerja keras pada perlawanan ini.

“Walaupun selepas kami bolos pada minit akhir, tapi pemain tetap bertahan dan menyerang dengan baik. Bagi saya, Selangor memang patut menang,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Kemenangan itu menyaksikan Selangor naik ke tangga ketiga liga dengan mengumpul 15 mata dan berada di belakang Pahang dan Kedah.

Dalam perkembangan lain, Maniam menjelaskan usaha untuk membawa pulang bekas penyerang The Red Giants, Amri Yahyah masih dalam perbincangan.

“Amri masih belum 100 peratus (kembali sertai Selangor). Masih dalam proses perbincangan antara Selangor dan Melaka,” katanya.

Amri pernah bersama Selangor selama 12 tahun sebelum menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2014 dan kemudian menyarung jersi Melaka United, musim ini.

Sumber: Berita Harian

Artikel ini disiar semula dari media yang dinyatakan dan tidak semestinya mewakili pandangan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS)