Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bersedia untuk bertemu dengan penyerang Melaka United (MU), Amri Yahyah, bagi membincangkan prospek perpindahannya kembali ke skuad The Red Giants pada jendela perpindahan kedua bulan hadapan.

Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal, berkata perbincangan lanjut perlu diadakan bersama penyerang veteran itu bagi memastikan situasi menang-menang dapat dimeterai antara FAS dan juga bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.

“Sudah pasti ini satu petanda baik untuk Amri kembali ke Selangor kerana semua orang tahu dia adalah produk pembangunan akar umbi pasukan ini dan ada aura tersendiri.

“Tetapi kita perlu adakan perbincangan yang lebih rasmi dan teliti kerana tiada gunanya jika kita mahukan khidmatnya tetapi kita tidak mampu memenuhi permintaannya.

“Saya akan berbincang dengan barisan pengurusan dan kejurulatihan untuk mendapatkan pandangan mereka terlebih dulu sebelum bertemu Amri dalam masa terdekat.

“Apapun, saya mengharapkan penyelesaian yang positif dapat dicapai bagi memastikan impian dia untuk pulang ke Selangor dapat menjadi kenyataan,” katanya ketika dihubungi BH Sukan.

BH Sukan sebelum ini melaporkan MU membuat keputusan mengejut apabila bakal melepaskan penyerang kebangsaan itu kembali mewakili pasukan asalnya, Selangor menjelang jendela perpindahan kedua pemain bulan depan.

Pengurus pasukan MU, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, walaupun mengambil keputusan yang berat, namun dia bersedia memberi laluan kepada Amri untuk kembali berbakti bersama The Red Giants.

Sumber: Berita Harian

Artikel ini disiar semula dari media yang dinyatakan dan tidak semestinya mewakili pandangan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS)